Luluhawa Biologi Luluhawa

Luluhawa biologi merujuk kepada tindakan tumbuhan, haiwan, mikroorganisma, dan manusia sama ada secara fizikal atau kimia yang dapat memecah dan menguraikan batuan. Luluhawa biologikal boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu tindakan tumbuhan, tindakan organisma, dan tindakan manusia.

Tindakan tumbuhan

Akar-akar pokok khususnya sistem akar runjang boleh menjalar ke dalam tanah dan memasuki rekahan batuan. Apabila akar ini membesar di dalam rekahan maka ia akan menekan dinding-dinding rekahan, melebar, dan memecahkannya. Tindakan ini seumpama tindakan bebaji akar. Pada masa yang sama rekahan yang dimasuki oleh akar tumbuhan turut mempercepatkan proses kemasukan air untuk luluhawa kimia beroperasi jauh ke dalam tanah.

Tindakan organisma

Tindakan haiwan yang menggali lubang seperti tikus, arnab, dan cacing tanah turut melemahkan struktur batuan yang membolehkan agen-agen luluhawa lain memasuki rekahan batuan untuk bertindak. Disamping itu mikroorganisma seperti lumut dan bakteria yang hidup di permukaan batu akan mengeluarkan asid organik semasa menyerap zat-zat galian dari dalam batu tersebut. Tindak balas asid organik seperti asid chelasi dengan mineral batuan akan mempercepatkan lagi penguraian batuan berkenaan.

Tindakan manusia

Tindakan manusia melombong telah membantu mempercepatkan kadar luluhawa

Aktiviti manusia juga boleh membantu mempercepatkan kadar luluhawa batuan. Menerusi aktiviti penyahutanan, pembinaan jalan raya, dan perlombongan yang akan mendedahkan batuan di dalam kepada agen-agen luluhawa khususnya sinaran matahari dan air hujan. Oleh itu batuan lebih cepat dipecah dan diuraikan. Aktiviti pertanian dan perindustrian pula membebaskan bahan-bahan kimia seperti baja, racun serangga atau pelepasan bahan pencemar udara dan sisa toksik. Bahan-bahan ini akan berasid di dalam air hujan (hujan asid) atau air tanih untuk bertindak balas dengan mineral batuan dan meluluhawakan batuan tersebut. Sebagai contoh tindak balas antara hujan asid yang mengandungi asid nitrat, asid sulfurik, dan asid karbonik ke atas mineral batuan seperti batu kapur dan riolit.